Keluaran dan sambutan SAM:_Saya_Amat_Mencintaimu

SAM ditayangkan pada 19 Ogos 2012 bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan merupakan satu kejayaan komersial walaupun sekadar meraih kutipan terendah. AbangNara dari BeautifulNara mengulas mengenai filem ini berkata apa yang menyedihkan apabila filem sehebat SAM arahan Syafiq Yusof ini sekadar mengutip RM1.4 juta selepas 12 hari tayangannya. Kemungkinan besar masa tayangannya iaitu ketika Hari Raya Aidilfitri menyebabkan orang ramai kurang berminat untuk ke wayang. Beliau yakin sekiranya filem SAM ini ditayangkan seminggu selepas raya pasti kutipannya lebih mantap.[4]

Arya Putra dari OMG Hackers yang mengulas mengenai filem ini memberikan 9/10 bintang memujinya sebagai "hebat dan sungguh mengagumkan" untuk Syafiq Yusof, barisan pelakon serta filem ini sendiri.[5] Menurutnya, filem seperti inilah yang dinanti-nantikan untuk ditonton. beliau juga mengulas, sebenarnya kalau babak-babak percintaan antara Sam dan Lisa dipendekkan, dan babak-babak 'permainan kematian' antara Sam dan lelaki bertopeng di kilang lama PV6 dipanjangkan, filem ini akan menjadi lebih baik.[5] Babak percintaan itu dirasakan terlebih dan meleret-leret pula, sehingga habis satu lagu dibuatnya. Sedangkan tatkala beliau masih belum puas melihat Sam disiksa lelaki bertopeng, ia sudahpun tamat. Satu lagi, menurut Arya Putra, babak watak budak kecil yang mengidap penyakit Identity Dissociative di akhir cerita tidak begitu kukuh.[5] Tidak pasti mengapa budak tersebut jadi sedemikian. Adakah kerana bapanya? Ibunya? Kawan-kawannya? Kalau hendak dikatakan sikap bapanya, ia tidak begitu meyakinkan. Kalau dimantapkan lagi bahagian ini, pasti menusuk kalbu. Beliau turut memikirkan apakah sebab yang begitu kuat sehingga menyebabkan kecelaruan identiti yang dahsyat kepada seorang kanak-kanak.[5]